KEPALA BATAS 1 April – Menyedari umat Islam memerlukan bantuan untuk melupuskan al-Quran yang usang dan reput, Biro Kebajikan Masjid Permatang Rambai di sini membuka pusat pengumpulan al-Quran bagi membantu orang ramai melupuskan kitab suci itu dengan cara yang dibenarkan syarak.
Pengerusinya, Saad Yaacob berkata, pusat pengumpulan al-Quran itu yang beroperasi sejak dua tahun lalu, menerima kira-kira 10 kilogram al-Quran usang setiap minggu untuk dilupuskan.
Saad yang merupakan seorang pesara berkata, dia mendapat nasihat daripada seorang ustaz mengenai keperluan untuk anak-anak kariah di kawasan itu mendapatkan khidmat untuk melupuskan al-Quran.
“Kebanyakan al-Quran yang sudah usang dan reput tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa dilupuskan dengan cara betul bagi menjaga kehormatan ayat suci al-Quran.
“Disebabkan itu saya terpanggil untuk membantu anak-anak kariah Masjid Permatang Rambai untuk melupuskan al-Quran dengan cara betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pusat pengumpulan al-Quran itu kini bukan hanya menjadi tumpuan penduduk di kawasan Permatang Rambai, namun umat Islam di kawasan berhampiran turut menghantar kitab suci ini serta kitab-kitab lama untuk dilupuskan.
“Pusat pengumpulan ini hanya beroperasi pada setiap Sabtu bermula pukul 9.30 hingga 11.30 pagi.
“Bayaran RM5 sekilogram dikenakan untuk kos pengangkutan bagi menghantar semua al-Quran serta kitab-kitab lama ini ke Jawi, Nibong Tebal untuk proses pelupusan,” katanya.
Katanya, dia juga pernah melihat cara-cara pelupusan al-Quran itu dilakukan dan kaedah yang digunakan memang mengikut undang-undang dan syarak yang ditetapkan.











