MIAMI – Pemain Switzerland, Roger Federer berjaya merangkul gelaran ke-101 dalam kariernya dengan penuh bergaya selepas menewaskan juara bertahan Kejohanan Tenis Terbuka Miami, John Isner dengan 6-1, 6-4 awal pagi semalam.
Federer, 38, yang tidak menyertai dalam kejohanan di atas gelanggang tanah liat sejak dua tahun lalu, mengakui kejayaan ke atas pemain Amerika Syarikat itu bakal menyuntik keyakinannya untuk beraksi dalam Terbuka Perancis pada Mei depan.
“Saya perlu memulakannya dengan langkah kecil sebelum kembali semula beraksi di atas gelanggang tanah liat.
“Saya kurang beraksi di gelanggang berkenaan sejak beberapa tahun lalu, jadi saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan. Namun, kemenangan ini berjaya mengurangkan sedikit tekanan ke atas bahu saya.
“Saya mungkin akan berehat sedikit selepas ini dan kemudian kembali menjalani persiapan. Secara fizikalnya saya masih mampu, namun kita lihat apa yang akan berlaku nanti. Saya amat teruja dan sangat menantikan cabaran ini,” jelas Federer.
Pemain berusia 38 tahun itu juga menjelaskan dia mahu mengatasi raja gelanggang tanah liat, Rafael Nadal apabila Grand Slam kedua itu bermula 26 Mei depan.
Bagaimanapun, dia tidak akan menyertai kejohanan Masters di Monte Carlo minggu depan, namun akan kembali semula ke gelanggang pada kejohanan di Madrid awal Mei nanti yang menjadi kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka Perancis. – AFP











