PASIR PUTEH 1 April – Polis mengetatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok yang memisahkan sempadan Malaysia-Thailand sepanjang musim kemarau ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, langkah tersebut diambil ekoran paras sungai tersebut yang semakin kering akibat fenomena kemarau sehingga memudahkan barangan untuk diseludup dimasuk.
“Sebelum ini penyuludup dan penjenayah sukar untuk meloloskan diri kerana terpaksa menggunakan perahu tetapi kini mereka hanya berjalan kaki sahaja untuk membawa barangan seludup ke negara ini.
“Dadah masih lagi dibawa masuk dari negara jiran dan sentiasa dalam pemantauan polis terutama di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita semasa majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintenden Ganti Jimmy menyerahkan tugas kepada Deputi Superintenden Azman Damiri sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Hasanuddin berkata, pihaknya termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan penguatkuasa agensi berkaitan masih mampu mengawal keadaan menerusi rondaan darat.
“Berdasar situasi sekarang kerajaan perlu mengkaji keperluan membina pagar di kawasan sempadan sebagaimana dilaksanakan di Perlis, Kedah dan Bukit Kayu Hitam.
“Jika berpagar akan menyukarkan sedikit pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan pada keadaan dan musim tertentu untuk menyeludup masuk sebarang baragan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











