JELEBU 1 April – Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-16 yang dijadualkan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada Khamis ini terus menerima bantahan daripada waris adat apabila para Ibu Soko dan Anak Buah Waris Kemin mengadakan perhimpunan secara aman di telapak Bemban, di sini semalam.
Mereka berpendapat pengisytiharan itu dibuat secara tergesa-gesa dan dilakukan di luar lingkungan Luak Jelebu berbanding telapak rasmi di balairung luak tersebut di Kuala Klawang dekat sini.
Wakil kumpulan itu juga telah dapat menyampaikan sepucuk surat mengenai isu itu yang diserahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika baginda berangkat menunaikan solat Jumaat di Batu Kikir, Jumaat lalu.
Pesara tentera, Abd. Kadir Yusuf, 70, berkata, semua pengamal adat di luak itu mahu ketua luak yang terbaik dan dihormati tanpa cacat celanya daripada segi amalan adat yang sebenar.
“Ini kerana, penyandang adalah untuk seumur hidup yang akan menjadi teladan pada waris akan datang,” katanya.
Pesara kerajaan, Abd. Aziz Yassin, 60, berharap, semua pihak yang terbabit dalam usaha pelantikan Undang luak itu tidak terburu-buru mengesahkan orang yang layak menyandang jawatan berkenaan.
“Tidak mengapa kalau pengisytiharan itu dibuat lewat sedikit, tetapi dapat memberi hasil yang terbaik tanpa cacat celanya,” ujarnya.
Beliau memberi contoh pelantikan Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra, Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang luak terkanan yang mengambil sehingga 10 tahun dan akhirnya mencapai tahap sempurna. – UTUSAN ONLINE











