PUTRAJAYA 1 April – Pekak akibat terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja merupakan antara penyakit yang paling banyak dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, penyakit lain yang turut dilaporkan adalah masalah berkaitan sendi, tulang dan otot (ergonomik) serta keracunan akibat terdedah kepada bahan kimia di tempat kerja.
“Sebenarnya banyak kes berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada JKKP. Justeru kita harap majikan perlu lebih bertangguungjawab untuk lapor sebarang kejadian menimpa pekerja mereka.
“Pekerja juga dinasihatkan untuk melaporkannya kepada majikan selain beritahu doktor yang merawat agar mereka tahu penyakit dihidapi berpunca daripada pekerjaan sebelum melaporkannya kepada pihak berwajib,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pra Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tempat Kerja 2019, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah.
Sementara itu Omar berkata, JKKP menjangkakan jumlah penyakit akibat pekerjaan adalah tinggi, namun tidak banyak laporan dibuat oleh majikan atau pekerja.
Katanya, jumlah penyakit akibat pekerjaan yang dilaporkan pada 2016 dan 2017 masing-masing adalah 7,820 kes dan 6,020 kes, manakala laporan kemalangan di tempat kerja adalah hampir 40,000.
“Masalah tidak lapor ini memang berlaku di banyak negara dan kesedaran mengenai pentingnya melaporkan perkara itu juga perlu dipertingkatkan.
“Sejak Januari hingga Februari lalu, sebanyak 13,000 notis dan 98 kompaun berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah dikeluarkan selain sebanyak 14 kes pendakwaan di mahkamah dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











