KUALA LUMPUR 1 April – Chatime Malaysia Sdn. Bhd. (Chatime) membuka cawangan terbaharunya dalam pawagam TGV Cinemas di pusat beli-belah Central i-City, Shah Alam, Selangor.
Pengarah Urusan Kumpulan Chatime, Aliza Ali berkata, Chatime muncul jenama teh bubble pertama yang membuka cawangan dalam pawagam dan menjangkakan akan membuka lebih banyak lagi dalam masa terdekat.
Menurut beliau, pembukaan cawangan pertama Chatime dalam rangkaian pawagam popular TGV Cinemas itu bertujuan untuk memberi lebih pilihan kepada pelanggan yang ingin menonton wayang sambil menikmati makanan dan minuman kegemaran mereka.
“Mungkin sebelum ini ada antara peminat teh bubble di luar sana yang pernah membawa masuk minuman kegemaran mereka itu secara senyap ke dalam panggung wayang untuk dinikmati ketika menonton.
“Bagaimanapun, mereka tidak perlu lagi melakukan demikian kerana boleh membawa masuk minuman Chatime secara terang-terangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chatime, Widayu Latiff berkata, kerjasama dengan TGV Cinemas Sdn. Bhd. itu membuktikan komitmen dalam menjadikan Chatime sebagai sebuah jenama minuman gaya hidup masa kini.
“Kami komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jenama daripada pelbagai segmen termasuklah hiburan, program kesetiaan syarikat penerbangan, telekomunikasi, perbankan, institusi pengajian tinggi dan banyak lagi,” katanya.
Chatime TGV Cinemas terletak di pintu masuk TGV Cinemas di tingkat empat dan telah dibuka kepada orang ramai sejak 23 Mac lalu.
Selain dalam pawagam, sebuah lagi cawangan Chatime turut dibuka di pusat beli-belah yang sama di tingkat LG. – UTUSAN ONLINE











