KOTA BHARU 1 April – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menjalankan Operasi Cegah Jatuh dan Runtuh secara mengejut di 22 tapak pembinaan seluruh negeri ini.
Operasi yang dijalankan sejak 4 hingga 20 Mac itu melibatkan seramai 16 pegawai JKKP untuk memastikan tahap pematuhan Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.
Timbalan Pengarah JKKP negeri, Haizul Afta Masri berkata, operasi yang diadakan kali ini lebih menumpukan kepada aktiviti berisiko tinggi seperti kerja-kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit di kawasan pembinaan.
“Terdapat 146 jumlah keseluruhan tapak pembinaan di seluruh negeri ini direkodkan sehingga semalam dan 22 daripadanya telah dipilih bagi sesi lawatan mengejut kali ini.
“Bagi operasi kali ini, kita telah mengeluarkan 186 tindakan punitif yang terdiri daripada 51 notis larangan serta merta, 57 notis penambahbaikan dan 78 surat arahan kepada semua kontraktor yang terlibat atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Operasi Cegah Dan Jatuh di tapak pembinaan Lembah Sireh, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Haizul berkata, berdasarkan rekod dalam masa tiga tahun bermula 2016 kemalangan yang melibatkan pekerja terjatuh membabitkan aktiviti di tempat tinggi.

“Dari tempoh tersebut, sebanyak lapan kes kematian direkodkan di seluruh negeri ini. Lima kes daripada jumlah itu adalah disebabkan terjatuh dari tempat tinggi dan tiga daripadanya melibatkan perkilangan.
“Selain itu, beberapa tindakan tegas juga telah diambil seperti kompaun dan pendakwaan di mahkamah melibatkan 60 kes dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM 141,800 bagi pelbagai jenis kesalahan.
“Kita gesa supaya semua pihak dalam industri ini supaya menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan keadaan terkawal dan berada dalam keadaan selamat, “ ujarnya. -UTUSAN ONLINE











