KUALA LUMPUR 1 April – Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah berharap untuk menampilkan aksi cemerlang dalam kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai pertandingannya di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini esok.
Soniia yang juga juara kebangsaan dua kali menyedari bahawa prestasinya dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini agak mengecewakan apabila sering terkandas di pusingan awal.
Katanya, keputusan yang diraih sebelum ini bukan berpunca daripada kekurangan latihan atau persiapan sebaliknya daripada kegagalan mempamerkan aksi terbaik semasa di dalam gelanggang.
“Kekalahan di pusingan awal merupakan sebahagian daripada proses yang perlu dilalui dan tidak semestinya selepas saya kalah, saya akan terus meraih kemenangan berterusan dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
“Saya perlu mencari kaedah terbaik untuk mempamerkan aksi terbaik semasa di dalam gelanggang, sama seperti permainan saya semasa sesi latihan.
“Masalah saya ketika ini ialah saya tidak boleh bermain seperti itu semasa di dalam gelanggang dan ini adalah perkara yang perlu saya atasi,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Soniia yang juga perseorangan kedua negara akan berdepan cabaran pilihan keempat dari Jepun, Akane Yamaguchi di pusingan pertama manakala rakan senegara, Goh Jin Wei bakal bertemu pemain bukan pilihan dari Thailand, Nitchaon Jindapol.-UTUSAN ONLINE











