Berita mengenai siswa-siswi berlapar, mengikat perut, makan nasi kosong baru-baru ini menjadi tular di media sosial.
Perkara sebegini memang memberi kesan emosi yang mendalam dalam kalangan pembaca.
Sesiapa sahaja akan berasa sedih dan beremosi apabila mendengar, anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara ini tidak makan serta terpaksa berlapar demi menimba ilmu.
Bagaimanapun, untuk pengetahuan pembaca, isu pelajar berlapar di kampus bukannya satu isu baharu. Ia merupakan satu pengalaman yang akan dilalui oleh semua pelajar yang pernah tinggal berjauhan dengan keluarga.
Sekadar makan kombinasi nasi putih, kicap, telur goreng atau nasi, air dan garam, mi segera, roti tawar dengan kopi dan sebagainya merupakan menu harian siswa siswi.
Ada yang beli roti canai sekeping dan bahagikan kepada tiga bahagian sebagai sarapan, makan tengah hari dan malam. Namun, kalau dapat makanan percuma di mana-mana, itu merupakan bonus.
Itu belum lagi kawan sebilik, kawan satu lorong dan sebagainya yang baru balik dari kampung dan membawa makanan macam hendak bagi makan satu kampung.
Semua akan berkumpul dalam bilik kawan tersebut dan makan bersama-sama. Semoga tuhan memberkati kawan dan keluarganya yang bermurah hati memberikan makanan itu.
Pengalaman penulis pula sebagai seorang berbangsa India, maka kuil adalah sasaran. Di sana pasti akan ada makanan percuma pada setiap hari Jumaat.
Semua wang syiling dan tabung dikorek dan bila cukup RM5, penulis dan kawan akan ke sebuah restoran daun pisang di Petaling Jaya, Selangor dan makanan yang diberikan untuk RM5 adalah cukup untuk empat orang makan.
Kenangan
Pekerja di restoran itu pandai membezakan siapa pelajar dan orang awam. Jadi pada hari berkenaan, kami empat orang akan makan seperti maharaja.
Itu semua merupakan zaman kesusahan tetapi kenangan yang amat manis dan berguna untuk diingati sehingga kini.
Setelah melalui zaman itu, setiap kali menghadap makanan, penulis tidak pernah komen tentang rasa makanan malah menghargai makanan itu.
Sedap ataupun tidak, itu bukan masalahnya kerana penulis pernah berlapar dan tahu nikmat dapat makan walaupun hanya nasi putih sahaja. Penulis juga belajar tidak membazir, walaupun hanya sebutir nasi.
Berkongsi makanan dengan orang lain merupakan nilai lain yang penulis belajar sejak di universiti dan yang paling penting adalah bersedekah agar individu lain tidak berlapar seperti yang pernah dilalui oleh diri kita sendiri.
Dari sudut yang lain, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan untuk segala masalah yang timbul dan meminta-minta.
Peranan dan tanggungjawab kerajaan terlalu banyak. Yang penting kini ialah usaha siswa-siswi itu sendiri untuk mencari jalan penyelesaian.
Kerja sambilan
Antara jalan yang boleh diambil ialah bekerja sambilan seperti menjadi guru tambahan, bekerja di restoran makanan segera, kedai fotostat, gedung-gedung jualan, membantu pensyarah dan menjalankan perniagaan atas talian secara kecil-kecilan.
Pada zaman ini, ada yang menjadi lebih bijak lagi dengan menjadi usahawan atas talian. Ada juga yang menggunakan kepakaran seperti membuat kek, nasi kerabu, perkhidmatan solekan untuk mendapatkan wang tambahan.
Usaha siswa-siswa ini harus dipuji kerana mereka bukan sahaja menimba ilmu tetapi pada masa yang sama berdikari untuk mencari wang sendiri dan pandai membahagikan masa untuk belajar dan mencari rezeki.
Ia sekali gus memberi penjimatan buat mereka sekiranya melakukan kerja tambahan itu. Jangan terlalu manja dan menjadi seperti katak di bawah tempurung. Beranikan diri dan keluar untuk meneroka serta mencari peluang yang terbuka.
Malaysia merupakan sebuah negara lubuk untuk mencari rezeki. Kalau warga asing mampu bekerja dan hidup mewah di bumi bertuah ini, apatah lagi kita rakyatnya sendiri.











