KUALA LUMPUR 1 April – Malaysia Airlines memulakan perkhidmatan harian sulung dari Kuala Lumpur ke Kochi dengan para penumpang diraikan dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
MH108 berlepas dari KLIA semalam pada pukul 10.40 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Cochin pada 12.01 pagi hari berikutnya.
Kesemua 70 penumpang pesawat itu disambut oleh kakitangan Malaysia Airlines dan mereka turut diberikan buah tangan di ruang istirehat.
Malah, ketibaan mereka turut disambut Ketua Operasi Serantau Malaysia Airlines bagi United Kingdom, Asia Barat dan Asia Selatan, Khirrol Mohamad bersama Pengarah Eksekutif dan Pengarah Lapangan Terbang (Operasi), Lapangan Terbang Cochin, Chandrakumaran Nair dan Pengarah Urusannya, Dinesh Kumar Dy.
Pesawat MH109 kemudiannya berlepas dari Kochi pada pukul 1.00 pagi, 1 April dan tiba di KLIA pada 7.50 pagi hari yang sama. – UTUSAN ONLINE











