JAKARTA 31 Mac – Kerajaan Indonesia perlu memanfaatkan kemajuan teknologi untuk meningkatkan perkhidmatan awam selaras dengan perkembangan global yang kini memasuki dunia digital.
Portal Antaranews melaporkan, calon Presiden Indonesia nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi berkata, kerajaan juga perlu mengurangkan karenah birokrasi dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
“Pembaharuan dalam perkhidmatan awam perlu dengan menggunakan maklumat dan teknologi elektronik seperti e-kerajaan, e-perolehan dan e-belanjawan untuk menyediakan (diri kita) untuk memasuki era digital,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa debat calon Presiden pusingan keempat di Hotel Shangri-La, semalam.
Semasa pentadbirannya, Jokowi telah membubarkan 23 institusi dengan tujuan menjadikan kerajaan lebih cepat dan pantas dalam membuat keputusan berkaitan dasar.
Menurut Jokowi, menambah baik keupayaan penjawat awam juga adalah satu lagi tugas yang perlu dilaksanakan untuk tadbir urus yang lebih baik.
Dalam debat pusingan keempat itu, tadbir urus antara topik yang dibahaskan Jokowi dan pencabarnya, Prabowo Subianto selain ideologi, hubungan antarabangsa serta pertahanan dan keselamatan.
Indonesia akan mengadakan pilihan raya Presiden dan pilihan raya legislatif serentak di seluruh negara pada 17 April ini. – AGENSI











