Brunei pertahan hak laksana hudud - Utusan Malaysia

Brunei pertahan hak laksana hudud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR SERI BAGAWAN 31 Mac – Brunei mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang syariah yang membenarkan mana-mana pesalah zina dan pengamal seks sejenis dihukum rejam sampai mati dengan batu di sebalik peningkatan kritikan antarabangsa.

Channel News Asia melaporkan, Brunei yang mempunyai penduduk kira-kira 400,000 orang dan majoritinya beragama Islam akan melaksanakan undang-undang tersebut bermula 3 April ini bagi menghukum pesalah berkaitan zina, liwat dan rogol dengan hukuman mati.

Hukuman mati mengikut undang-undang syariah termasuk direjam sehingga mati menggunakan batu dan bagi kesalahan lain seperti mencuri, tangan pesalah akan dipotong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut pejabat Perdana Menteri Brunei dalam satu ke­nyataan, undang-undang yang pertama kali diluluskan pada 2014 itu telah dibentang secara berfasa dan akan dilaksanakan mingu depan

“Undang-undang syariah bukan sahaja membendung perlakuan di luar norma, tetapi juga berfungsi untuk mendidik, menghormati serta melindungi hak semua pihak, masyarakat selain rakyat berbilang agama dan bangsa Brunei,” kata kenya­taan itu semalam.

Beberapa aspek undang-undang tersebut juga terpakai untuk masyarakat bukan Islam.

Brunei ditadbir oleh Sultan Hassanal Bolkiah, 72, yang juga merangkap sebagai Perdana Menteri negara ini.

Brunei yang berjiran dengan Malaysia sudah menguatkuasakan pengajaran Islam yang lebih komprehensif berbanding negara majoriti umat Islam di Asia Tenggara ketika penjualan minuman beralkohol dan penyebaran agama oleh penganut lain turut dilarang.

Pelaksanaan undang-undang tersebut mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak de­ngan ahli politik di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) membantah dan melahirkan kebimba­ngan berhubung perkara itu.

Bekas Naib Presiden AS, Joe Biden menerusi kicauan dalam Twitter menulis, ‘Merejam pesalah zina dan seks sejenis dengan batu sehingga mati adalah satu perbuatan yang tidak munasabah dan tidak bermoral’.

Pemenang anugerah Oscar, pelakon George Clooney turut menggesa supaya orang ramai memboikot semua hotel mewah yang dmiliki Syarikat Pelaburan Brunei seperti Hotel Beverly Hills di London dan Paris.

Selain itu, Canselor Austria, Sebastian Kurz turut mengecam pelaksanaan undang-undang tersebut dengan menyifatkan­nya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, selain wajar ditarik balik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini