Russel sekadar raih perak - Utusan Malaysia

Russel sekadar raih perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mac – Hajat Russel Alexander Nasir Taib untuk bersinar dalam acara akhir 200 meter (m) Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila menamatkan aksi di tempat kedua.

Dalam saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Russel menamatkan aksi dengan catatan masa 21.12 saat (s) tewas kepada atlet Taiwan, Tai Sheng Wei, 21.00s.

Pingat gangsa turut menjadi milik atlet Taiwan, Shou Po Yeh dengan catatan 21.24s.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata Russel, dapat menghadiahkan pingat buat Malaysia tetap menjadi sesuatu yang membanggakannya biarpun sekadar perak.

“Saya gembira dengan keputusan ini dan tumpuan selepas ini adalah untuk aksi Kejohanan Olahraga Asia di Doha pada April ini.

“Selepas ini saya akan lihat semula apa kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum berdepan aksi di Doha nanti,” kata Russel.

Russel mencetus sensasi apabila mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 200m pada 23 Mac lalu dengan catatan 20.77s dalam kejohanan Trek Klasik Queensland di Australia ketika memenangi pingat perak.

Catatan tersebut melebur rekod lama milik jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan, 20.90s dilakukan dua tahun lalu.

Sementara itu, dalam saingan akhir wanita 200m, pingat emas menjadi milik atlet Kyrgyzstan, Anna Bulanova dengan catatan 23.71s manakala pingat perak milik atlet Malaysia, S. Komalam Shally, 24.60s.

Pingat gangsa turut menjadi milik atlet negara, Siti Fatimah Mohamad yang menamatkan larian dengan catatan 24.84s.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini