Skala bahagia tertinggi - Utusan Malaysia

Skala bahagia tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA tahun menjalani kehidupan berumah tangga segala-galanyanya terasa manis. Saling memahami dan berbahagi kesempurnaan, Fattah Amin dan Fazura sememangnya layak disifatkan sebagai pasangan selebriti paling romantik.

Sedang mendakap bahagia paling dalam, jelas Fattah, kebahagiaannya kini berada pada skala tertinggi. Dia mengakui apa yang dimiliki sekarang adalah berkat doa orang sekelilingnya.

“Jika ditanya berapa tahap kebahagiaan kami sekarang, saya letakkan kebahagiaan kami pada tahap 200 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang saya kecapi ini bukan sahaja daripada doa kami berdua, tetapi mungkin juga daripada doa-doa peminat dan keluarga.

“Alhamdulillah, doa-doa ini dimakbulkan dan saya bahagia dengan isteri,” luah Fattah yang akan keluar dengan filem terbaharu, Mat Kilau arahan Syamsul Yusof.

Berdua itu bahagia, namun bertiga itu sempurna.

Bertanya soal zuriat, Fattah menjelaskan bahawa antara dia dan Fazura sangat terbuka untuk bercerita soal ini. Namun, buat masa sekarang masih belum ada apa-apa perkembangan terhadap perkara baik ini.

“Saya faham soalan sebegini kerap diajukan, malah saya tidak menyalahkan mana-mana pihak jika terus-terusan bertanya. Bila kita tak kahwin, orang tanya bila nak kahwin. Bila dah kahwin, orang tanya bila nak ada anak.

“Kami masih berusaha tapi rezeki itu datang daripada Allah. Saya mengharap doa daripada semua supaya saya dan Fazura dapat cahaya mata tidak lama lagi,” jelasnya yang juga akan mengeluarkan single duet bersama Fazura yang berjudul Paling Sempurna.

Nama tercalar

Fattah pernah mengalahkan Saharul Ridzwan, Hafidz Roshdi, Syafiq Kyle, Nazrief Nazri, Ben Amir dan Hafreez Adam dalam pertandingan Hero Remaja pada 2013.

Filem pertama Fattah, Manisnya Cinta Di Cappadoccia arahan Bernard Chauly pada 2014 mempertemukan Fattah dengan isterinya, Nur Fazura yang menjadi pelakon utama filem tersebut. Pada ketika itu Fattah hanya membawa watak sampingan.

Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam merupakan bapa saudara kepada Fattah daripada sebelah bapanya.

Fattah mendapat pendidikan awal di SMK Desa Tun Hussein Onn seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif.

fattah membuat laporan polis terhadap rakan kongsinya di bawah syarikat MRP International Sdn. Bhd kerana enggan memberi kerjasama dalam menyelidik penyata kewangan syarikat tersebut.

Menurut Fattah, dia terpaksa berbuat demikian bagi membersihkan namanya yang tercalar akibat dakwaan daripada beberapa ejen produk syarikat berkenaan yang mengatakan dia tidak aktif mempromosikan produk itu.

Fattah bagaimanapun menegaskan dia tidak pernah bersekongkol mahupun berniat untuk menipu stokis dan berasa ralat kerana perkara itu telah memburukkan nama baiknya.

“Kes ini telah bermula sejak tahun lepas lagi selepas ejen mula memperkatakan perkara ini dalam ruangan komen laman sosial saya.

“Saya rasa sangat bersalah dengan apa yang berlaku terhadap mereka. Malah nama saya juga turut tercalar berikutan kes ini. Oleh itu saya tampil untuk menberikan penjelasan,” jelas Fattah.

Bagi menjernihkan keadaan, Fattah telah beberapa kali menghubungi individu tersebut bagi mendapatkan akses untuk meneliti penyata kewangan syarikat, namun usahanya gagal.

Untuk menjaga nama baiknya, Fattah telah melantik peguam Fakhrul Azman Abu Hassan dari Azaine & Fakhrul Advocates & Solicitors untuk membantu menyiasat dan menangani perkara ini.

“Pada 13 Februari lalu Fakhrul telah menghantar notis kepada rakan kongsi berkenaan supaya membenarkan pihak saya meneliti penyata kewangan dan menjalankan audit yang lebih terperinci terhadap syarikat itu, namun kami tidak menerima sebarang maklum balas.

“Oleh itu, peguam menyarankan saya membuat laporan polis berkenaan isu ini dan saya telah berbuat demikian pada 8 Mac lalu.

“Laporan itu dibuat untuk memberi penjelasan kepada pihak stokis MRP dan orang ramai bahawa saya tidak menipu atau bersekongkol dengan pihak syarikat MRP,” luah Fattah yang berharap pihak stokis tidak lagi menunding jari dan menyalahkannya tanpa usul periksa.

Kurangkan drama

Memilih untuk memperlahankan rentak dalam bidang lakonan terutama untuk slot drama, Fattah menjelaskan sudah tiba masanya dia memilih karya-karya berkualiti untuk dipersembahkan kepada peminat.

Memastikan kekuatan skrip sebagai kayu ukur sebelum mengambil sebarang tawaran lakonan, Fattah tidak mahu terlalu stereotaip dengan watak yang sama berulang kali.

Selain itu, Fattah juga membuat keputusan untuk mengurangkan pengambilan tawaran drama kerana mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

“Masa bujang saya memang terima semua tawaran sehingga muka saya ada `back to back’ di televisyen. Jadi selepas berkahwin, saya memang berniat untuk kurang berlakon drama, hanya tawaran yang berkualiti akan saya ambil.

“Saya tak mahu orang bosan jika lihat wajah saya memenuhi kaca televisyen. Malah sebelum ini pun saya ada dengar mereka cakap, ‘selepas Fattah, Fattah lagi’.

“Sebab itu selepas berkahwin, saya ambil satu drama sahaja,” luahnya yang akan muncul dalam slot Samarinda TV3 tidak lama lagi.

Tidak gentar dengan saingan pelakon-pelakon baharu yang lain, Fattah yakin dengan pihak pengurusannya sekarang.

“Tak banyak keluar TV tidak bermaksud tiada kerja. Sebenarnya tawaran kerja tetap ada, masih dipanggil sebagai duta untuk beberapa produk dan saya juga sibuk menguruskan perniagaan.

“Sebab itu perlunya kewujudan pengurusan. Sekarang saya berada di bawah pengurusan Universal Music, Alhamdulillah, mereka bijak mengatur kerjaya saya sama ada untuk lakonan mahu pun nyanyian,” jelas Fattah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini