RAWANG – Seorang pemandu treler cedera selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Kilometer 439.2 arah selatan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu turut mengakibatkan pemandu lori yang mengalami kerosakan tersebut cedera dan kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori yang dipandu Mohammad Nor Syafiq, 25, berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan.

“Kira-kira 30 minit kemudian, treler yang dipandu mangsa dikenali sebagai Ravindran, 35, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh lori yang sedang dibaiki tersebut.
“Kemalangan tersebut turut membabitkan seorang lagi mangsa yang merupakan mekanik syarikat lori berkenaan iaitu Yap Lu Sang, 62, namun tiada sebarang kecederaan menimpanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes di klasifikasi di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











