Mr. Langkawi kembali lagi - Utusan Malaysia

Mr. Langkawi kembali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mac – Pemegang rekod kemenangan terbanyak peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL), Andrea Guardini kembali menghangatkan edisi ke-24 perlumbaan bersama lima pelumba kelahiran Itali bersama pasukan Pro Benua, CSF Bardiani.

Guardini sekali lagi bakal menjadi tumpuan untuk ­perebutan jersi Hijau selaku Raja Pecut apabila perlumbaan membuka tirai dari 6 hingga 13 April.

Pelumba kelahiran Tregnano berusia 29 tahun itu mendapat gelaran Mr. Langkawi selepas melakar sejarah meraih lima kemenangan pe­ringkat, termasuk Raja Pecut sejak membuat penampilan pertama pada 2011 bersama Farnese Vini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga kini, tiada pelumba berjaya mendominasi gelaran Raja Pecut dalam perlumbaan berstatus 2.HC dan rekod yang dipegang membuktikan betapa mendalam minat Guardini terhadap sukan berbasikal.

Sejak kali pertama beraksi, Guardini hanya terlepas edisi 2017 kerana mewakili UAE Abu Dhabi yang tidak menyertai perlumbaan tersebut.

Guardini berjaya meraih 42 kemenangan peringkat sepanjang kariernya dan 24 daripadanya diraih dalam LTdL.

Pengarah Bardiani CSF, Roberto Reverberi turut me­nurunkan Mirco Maestri untuk menjadi watak sokongan kepada Guardini apabila me­lakukan henjutan.

Meskipun mula berkayuh secara profesional pada 2015, Maestri yang berusia 27 tahun memulakan musim ini dengan cemerlang termasuk meraih mata ketika beraksi di Tirreno Adriatico, sekali gus mengejutkan nama-nama besar ketika itu.

Seorang lagi pelumba yang dijangka mencuri tumpuan adalah Alessandro Pessot yang dijangka menjadi salah satu tumpuan bagi saingan LTdL 2019.

Pessot akan membuat penampilan sulungnya di Langkawi dan pernah beraksi di perlumbaan antaranya Milan San Remo minggu lalu, malah berjaya memberi tentangan hebat ketika menyertai jelajah Vuelta Andalucia yang berlangsung bulan lalu.

Selain Guardini dan ­Pessot, CSF Bardiani turut diperkuatkan dengan kelibat Paolo Simon (26 tahun) dan dua pelumba muda, Michael Bresciani (24) dan Daniel Savini (21). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini