‘Tamat sudah episod badi di laman sendiri’ - Utusan Malaysia

‘Tamat sudah episod badi di laman sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mac – Pengendali Selangor, B.Satiananthan memuji sikap anak buahnya yang membuktikan bahawa badi tanpa kemenangan di Stadium Shah Alam tidak lagi menghantui pasukannya.

Ia dibuktikan dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC), malam tadi sekali gus memberi kemenangan kedua berturut-turut buat Red Giants dalam saingan Liga Super musim ini.

Lebih manis, selepas enam perlawanan, ini merupakan kali pertama Selangor berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi pihak lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini psikologi, orang selalu cakap kita tidak pernah menang di Shah Alam dari tahun lepas, ini ada tertanam dalam diri pemain dan mahu keluarkan benda itu memang susah.

“Dengan kemenangan hari ini kita lega dan percaya kita boleh menang lagi di Shah Alam. Secara keseluruhan saya puas hati, tetapi babak pertama pemain sedikit gemuruh namun babak kedua mereka mula beraksi baik.

“Saya sangat gembira dapat tiga mata dan jika (barisan hadapan) lebih bijak serta tenang dalam menyudahkan peluang mungkin kita akan dapat lebih banyak gol,” katanya.

Pemain sayap lincah, Faiz Nasir yang sebelum ini memberi impak besar kepada pasukan Harimau Malaya ketika menumbangkan Afghanistan dalam aksi Piala Air Marine Sabtu lalu, sekali lagi menyinar dengan menjaringkan gol kemenangan buat Selangor.

Dalam perkembangan sama, faktor kecederaan pemain tengah, Halim Saari memberi kerisauan kepada Satiananthan menjelang perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Kelantan di Kota Bharu, Selasa ini.

“Kecederaan Halim agak serius dan saya perlu fikir tentang dia (pengganti Halim). Piala FA hari Selasa dan bermain di Kelantan jadi itu yang saya risau.

“Ini lah akibat jika bermain tidak sampai 72 jam dan bermain lagi ia bukan mudah, kalau Superman boleh lah,” jelasnya yang turut gusar dengan kecederaan Syahmi Safari.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini