BAKAL mengadakan konsert 2V pada 6 April ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Kuala Lumpur, Man Bai dan Rahim Maarof baru-baru ini diusik dengan pertanyaan serius.
Akan adakah dalam kalangan generasi muda yang mahu menonton persembahan mereka memandangkan di zaman ini, artis ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ (BBNU) lebih banyak mempelopori populariti industri seni.
Dalam erti kata lain, masih adakah orang muda yang sudi mengeluarkan wang poket untuk menonton persembahan orang lama?
Andai kita berada di era 80-an atau 90-an, ia sememangnya sudah menjadi satu fenomena biasa dengan tambahan suasana keterujaan memandangkan zaman itu, bukan mudah bertemu dengan artis pujaan.
Maka, kebanyakan peminat sanggup berhabis duit semata-mata mahu memberi sokongan pada artis atau idola mereka.
Sedar bahawa zaman sudah berubah, dua penyanyi legenda ini hadir dengan pandangan masing-masing.
Konsert 2V
Dalam pada itu, konsert 2V yang dibawakan oleh Lollipop Living ini akan menyaksikan kedua-dua penyanyi legenda ini membawakan seleksi lagu hit mereka.
Antaranya Rahim dengan lagu Jangan Kau Rayu, Dir dan Sensitif manakala Man Bai dengan lagu Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir.
Tiket-tiket berharga RM205.00 boleh didapati melalui www.ilassotickets.com.
Pelapis muda diperlukan – Man bai
Tidak menolak bahawa ada dalam kalangan generasi muda yang sukar menerima lagu lama apatah lagi artis senior sepertinya, Man Bai bagaimanapun mempunyai pandangan tersendiri.
Melihat generasi muda lebih terarah pada muzik yang lebih segar dan baharu, Man Bai sedar ia turut mencerminkan arah tuju kelompok artis baharu dalam industri.
Merasakan rata-rata artis BBNU tidak ada yang mampu menjadi pelapis artis yang berkualiti untuk sesetengah genre muzik, Man Bai melahirkan rasa kesal.
“Orang kata lagu-lagu era 80-an dan 90-an sedap dan bagus-bagus, tetapi malangnya kami ini tidak mempunyai pelapis pun.
“Saya tengok ramai yang boleh buat lagu dan kemudian menyanyikan lagu sendiri. Hasilnya, entah apa-apa bahkan ada yang syok sendiri. Pernah saya disindir anak sendiri dan minta saya janganlah berfikiran 80-an sangat.
“Saya terima bahkan ambil pandangan orang muda tentang muzik kita, cuma persoalannya sekarang mahu ke orang muda terima pandangan orang lama?” jelasnya.
Kongsi penyanyi yang popular dengan kumpulan Gersang ini, dia percaya jurang hubungan antara artis lama dan baharu dapat didekatkan andai artis muda tidak malu untuk menimba ilmu daripada orang lama.
“Jangan takut atau segan. Sikap itu harus dibuang kerana kalau kena dengan cara dan pandai menghormati, orang lama macam kami ni tak akan lokek ilmu.
“Kami lebih suka andai ada anak muda yang mahu berkongsi muzik atau pengalaman sebab kami pun mahukan pelapis yang berkualiti untuk memacu industri,” tuturnya.
Berkongsi pengalaman bertemu dengan penyanyi Haqiem Rusli, kata Man Bai, dia pernah membuang egonya meminta karya lagu daripada artis berkenaan kerana suka dengan hasil kerjanya.
Karaoke boleh, mengapa tidak?
Meletakkan kepercayaan bahawa terdapat kelompok peminat mereka terdiri dalam kalangan generasi muda, Rahim menganggap tiada salahnya jika orang baharu terus memberi sokongan buat artis senior sepertinya.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal dan Usang ini, dia sendiri kagum dengan sesetengah peminat kalangan generasi muda yang mengenalinya sebagai penyanyi dan tahu lagu-lagu hit.
“Bukan apa, saya ni memang jarang muncul di kaca televisyen. Bahkan dah lama tak buat begitu. Jadi kagum juga apabila budak-budak muda tahu lagu saya.
“Kalau pergi karaoke, mereka nyanyikan lagu orang lama macam saya, itu sudah cukup memberi petanda positif bahawa kami ini masih relevan buat mereka,” katanya.
Tidak cuma itu, penyanyi berusia 63 tahun ini juga tertanya-tanya sebab mengapa generasi muda suka dengan lagu lama.
“Adakah kerana susunan muzik, lontaran vokal atau pun lirik lagu maka menyebabkan mereka suka mendengarnya berbanding lagu era baharu?
“Saya rasa lagu lama kebanyakannya datang dengan pakej yang sempurna. Masih saya ingat, betapa sukarnya untuk artis era kami merakamkan sebuah lagu.
“Tidak semudah artis zaman sekarang yang ada kemudahan teknologi. Kami dahulu, pernah kena marah kalau menyanyi tanpa jiwa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rahim juga terkejut kerana ada dalam kalangan peminat tidak membenarkan dia terlibat dalam sebarang program realiti atau pertandingan nyanyian sebagai platform untuk kembali popular.
Mengaku dia sendiri tidak begitu rajin menonton televisyen, Rahim pada mulanya hairan mengapa dia dilarang berbuat demikian.
“Mereka kata program seperti itu ‘sampah’ dan ada yang kata saya tak perlu masuk kerana ia tidak setaraf dengan kedudukan saya sebagai penyanyi.
“Saya memang tak tahu sebab tak pernah menonton, tapi kalau ada tawaran pun rasanya saya akan tolak sebab merasakan diri dah tak sesuai,” katanya.











