KAJANG – Tempoh reman bagi suspek lelaki warga tempatan yang dipercayai memukul, merogol dan meliwat adik iparnya sendiri sehingga mangsa mengandung pada 22 Mac lalu telah dilanjutkan selama enam hari lagi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu akan ditahan sehingga 4 April ini bagi siasatan mengikut Seksyen 376/377D/324 Kanun Keseksaan.
“Reman terhadapnya telah tamat semalam dan kita mohon untuk reman selama enam hari lagi.
“Siasatan selanjutnya sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! pada 24 Mac lalu melaporkan, suspek yang berusia 30 tahun telah memukul adik iparnya yang berusia 18 tahun dengan menggunakan tali pinggang pada belakang badannya kerana tidak melayan kehendak suspek untuk melakukan hubungan seks di rumahnya di sekitar Bandar Tun Hussein Onn di sini.
Memetik Ahmad Dzaffir, mangsa telah dipaksa melakukan perbuatan terkutuk itu sejak berusia 16 tahun tanpa kerelaannya sehingga mengandung lapan minggu. – K! ONLINE











