Operasi SAR peserta GUT 2019 hilang dihentikan - Utusan Malaysia

Operasi SAR peserta GUT 2019 hilang dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari seorang peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak Sabtu minggu lalu, dihentikan secara rasmi pada pukul 1 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pasukan SAR tidak menemui petunjuk baru dalam pencarian mangsa selepas tujuh hari operasi dijalankan. 

“Operasi SAR bagi mencari mangsa merangkumi radius 35 kilometer (km) persegi melibatkan 16 lokasi darat termasuk Bukit Batu Puteh, Bukit Rateh, Gunung Chante, Gua Kandhu dan Taman Rekreasi Gua Tempurung serta laluan di air sepanjang 30 km dari Kuala Razila ke Sungai Kinta. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan SAR telah menggunakan pelbagai teknik mencari mangsa termasuk menyusuri anak sungai, pencarian di kaki bukit, pergerakan berkumpulan, anjing pengesan, dron pengesan logam. Bagaimanapun kita masih belum berjaya menjumpai mangsa dan kita akan tutup operasi SAR secara rasmi pada pukul 1 tengah hari ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai, Kampung Pintu Padang di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd. Yunus Abu dan Pegawai Daerah Kampar, Khairul Anwar Ramli. 

Hasron Nazri yang juga merupakan Komander Operasi berkata, pihaknya akan mengaktifkan semula operasi ini sekiranya menerima maklumat dan petunjuk baru berkaitan mangsa. 

“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PTPK) akan diaktifkan semula seandainya kita mendapat petunjuk baru di tempat kejadian. 

“Selain itu, Jabatan Penerangan Malaysia akan mengambil tindakan untuk menguar-uarkan maklumat berkaitan mangsa dan kejadian melalui media massa dan media sosial. 

“Polis turut akan menjalankan rondaan secara berkala di kawasan terlibat,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu. 

Sementara itu, Boon Chye berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia menghargai segala usaha yang digerakkan dalam usaha mencari mangsa yang melibatkan kira-kira 800 orang termasuk 180 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi. 

“Kita juga akan menghulurkan bantuan terhadap keluarga mangsa,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini