RAMALLAH 29 Mac – Ketika penduduk Palestin memperingati ulang tahun Hari Tanah ke-43, esok, pengambilalihan tanah asal Palestin di Tebing Barat yang dijajah oleh rejim Zionis terus berlanjutan sehingga hari ini.
Malah, berdasarkan laporan terbaharu yang didedahkan Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS), Israel ketika ini menduduki lebih 85 peratus tanah asal penduduk Palestin merangkumi kawasan 27,000 kilometer persegi atau 2.7 juta hektar.
Lapor agensi berita Ma’an, Presiden PCBS, Ola Awad berkata, 48 peratus daripada jumlah rakyat Palestin yang merupakan penduduk asal hanya berpeluang menggunakan 15 peratus daripada tanah warisan mereka.
MANIPULASI KLASIFIKASI TANAH PERJANJIAN OSLO
Penjajah Israel menggunakan klasifikasi tanah mengikut Perjanjian Oslo (Kawasan A,B dan C) untuk mengetatkan kawalan ke atas tanah Palestin terutama di kawasan yang diklasifikasikan sebagai C yang mempunyai keluasan 337,500 hektar.
Kira-kira 264,200 hektar membentuk 76.3 peratus daripada jumlah kawasan yang diklasifikasi sebagai kawasan C telah dieksploitasi oleh pendudukan Israel secara langsung.
Kawasan yang diklasifikasi sebagai kawasan A adalah seluas 100,000 hektar manakala kawasan B (103,500 hektar).
Lagi 25,000 hektar termasuk rizab semulajadi Baitulmuqaddis Timur diklasifikasikan sebagai lain-lain manakala Hebron dikenali sebagai H2 dan kawasan yang tidak diklasifikasikan.
Pada 2018, rejim Zionis merampas 50.8 hektar lagi tanah Palestin sebagai tambahan kepada rampasan puluhan hektar tanah Palestin menerusi pembesaran pusat pemeriksaan Israel dan pusat pemeriksaan tentera bagi melindungi pendatang haram Yahudi.
TANAH PERTANIAN TURUT DIRAMPAS
Jumlah kawasan yang diklasifikasikan sebagai nilai pertanian tinggi atau sederhana di Tebing Barat adalah 207,200 hektar merangkumi 37 peratus kawasan Tebing Barat ketika hanya 17 peratus kawasan berkenaan digunakan penduduk Palestin.
Tanah yang tidak dieksploitasi untuk pertanian di Tebing Barat di kawasan C adalah bersamaan 60 peratus kawasan Tebing Barat yang masih berada dalam kawalan Israel sehingga menyukarkan petani untuk menjaga tanaman mereka.
Selain itu, sebanyak 7,122 batang pokok dicabut tahun lalu oleh tentera rejim Zionis menyebabkan jumlah pokok yang rosak lebih daripada satu juta pokok dari tahun 2000 hingga penghujung 2018.
PENEROKA HARAM YAHUDI TUNJUK BELANG
Beratus hektar tanah penduduk Palestin turut dirampas pendatang Yahudi untuk kegunaan sendiri dan kawasan yang telah diusahakan di penempatan haram pendatang itu pada tahun lalu mencapai keluasan kira-kira 11,000 hektar.
Terdapat 435 penempatan haram Yahudi dan pangkalan tentera Israel di Tebing Barat menjelang akhir tahun 2017.
Tahun 2018 menyaksikan peningkatan ketara dalam kadar pembinaan dan penambahan penempatan Israel di Tebing Barat yang mana rejim Zionis meluluskan pembinaan 9,384 unit rumah baharu.
Rejim Zionis juga meluluskan pembinaan sembilan penempatan baharu pada tahun lalu.
Kawasan-kawasan yang dikuasai penempatan haram Yahudi di Tebing Barat berjumlah 541.5 kilometer persegi yang mewakili kira-kira 9.6 peratus dari Tebing Barat.
Sementara kawasan yang dirampas untuk tujuan pembinaan pangkalan tentera dan latihan ketenteraan adalah sekitar 18 peratus dari Tebing Barat
Pihak berkuasa Israel turut meletakkan halangan dalam mengetatkan pengepungan dan menyekat keluasan bandar Palestin terutama di Baitulmuqaddis dan kawasan C di Tebing Barat yang di bawah penguasaan penuh Israel.
JUMLAH PENEROKA BERTAMBAH
Data yang diperolehi menunjukkan bahawa jumlah pendatang Yahudi di Tebing Barat adalah sebanyak 653,621 orang menjelang akhir tahun 2017.
Kira-kira 47 peratus atau 306,529 orang daripadanya tinggal di Wilayah Pentadbiran Baitulmuqaddis manakala 225,335 lagi tinggal sekitar bandar tersebut.
Dari sudut demografi, terdapat 22.6 pendatang Yahudi bagi setiap 100 penduduk Palestin di Tebing Barat berbanding 70 pendatang bagi setiap 100 penduduk Palestin di Wilayah Pentadbiran Baitulmuqaddis. – AGENSI











