KUALA LUMPUR 29 Mac – Kehadiran juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia dan jaguh pecut Taiwan, Yang Chun-han bakal menjanjikan persaingan hebat kepada Khairul Hafiz Jantan dalam misi mencabar kejuaraan 100 meter lelaki pada Grand Prix Terbuka Malaysia esok.
Lalu, 18, mencipta sejarah olahraga Indonesia apabila merangkul kejuaraan 100m remaja dunia di Tampere, Finland tahun lalu dengan catatan masa 10.18 saat.
Khairul Hafiz, 20, juga memegang rekod peribadi terbaik 10.18s dan dinobat sebagai Raja Pecut Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas Sukan SEA 2017.
Pemenang pingat perak 200m Sukan Asia 2018, Chun-han, 22, pula memiliki catatan peribadi terbaik dalam kalangan semua perserta dengan masa 10.11s, malah dia juga turun dengan reputasi sebagai juara 200m Asia 2017.
Perlumbaan 100m juga bakal menampilkan pemegang rekod 200m kebangsaan yang baharu, Russel Alexander Taib, 21, namun berbanding tiga pencabar lain, Russel hanya memiliki catatan peribadi terbaik 10.49s. – UTUSAN ONLINE











