KUALA LUMPUR 29 Mac – Amal oleh Malaysia Airlines bekerjasama dengan Movenpick Hotel & Convention Centre milik Lembaga Tabung Haji untuk menyediakan penginapan transit buat jemaah umrah.
Ketua Pegawai Eksekutif Amal, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, perkhidmatan itu bagi pelanggan Amal yang meneruskan perjalanan ke Jeddah atau Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, ia boleh diatur melalui ejen perjalanan umrah mereka.
“Kerjasama ini membolehkan jemaah haji daripada pelbagai lokasi menikmati keselesaan dan kemudahan berehat semasa persinggahan mereka di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah atau Madinah.
“Ia memperkayakan pengalaman jemaah melalui hospitaliti Malaysia, terutama mereka yang transit kerana kekurangan pilihan sambungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Amal merupakan perkhidmatan sewa khas untuk jemaah haji dan umrah.
Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Hazman dan Pengurus Besar Movenpick, Hairul Maharis disaksikan Pengarah Jualan Movenpick, Nazlina Mohd. Isa dan Ketua Komersial Amal, Yazid Mohamad.
Penginapan transit juga akan menyediakan satu pilihan untuk jemaah haji Indonesia yang berminat dengan pakej ziarah termasuk penginapan hotel di Movenpick Hotel, KLIA.
Hotel berkenaan mempunyai 333 bilik termasuk suite mewah.
Kerjasama itu bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.











