Pindah buah pinggang dari penderma HIV masih hidup - Utusan Malaysia

Pindah buah pinggang dari penderma HIV masih hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 29 Mac – Sekumpulan pakar bedah Amerika Syarikat (AS) mencatat pencapaian luar biasa dalam bidang perubatan apabila berjaya menjalankan pemindahan buah pinggang milik seorang wanita berusia 35 tahun yang positif HIV.

Pembedahan itu dilakukan pa­kar bedah dari Universiti John Hopkins, Baltimore Isnin lalu terhadap seorang lagi pesakit HIV yang masih hidup dan dianggap sebagai yang pertama di dunia.

Penderma, Nina Martinez berkata, dia pada awalnya mahu mendermakan buah pinggang miliknya kepada seorang rakan tetapi me­ngubah rancangannya itu selepas kawannya meninggal dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut wanita yang ber­asal dari Atlanta itu, dia mendapat inspirasi untuk menderma buah pinggang selepas menonton satu episod siri drama Grey’s Anatomy dan gembira menjadi sebahagian daripada kejayaan perubatan itu.

“Saya tahu, saya adalah insan yang ditunggu. Untuk sesiapa yang berhasrat me­lakukan, mereka boleh lakukannya.

“Saya baru sahaja me­nunjukkan caranya dan tidak sabar untuk melalui sesi pemeriksaan susulan pertama,” katanya.

Sementara itu, Profesor Perubatan dan Onkologi Universiti John Hopkins, Christine Durand memberitahu, penerima organ yang identitinya dirahsiakan itu turut menunjukkan perkembangan positif.

“Mereka amat teruja de­ngan ‘hadiah’ ini dan kami kini sedang memantau ke­dua-duanya untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Sebelum pemindahan ter­babit berjaya dilakukan, doktor percaya bahawa pesakit HIV akan berdepan risiko tinggi jika hanya memiliki sebelah buah pinggang.

Keputusan untuk meneruskan pemindahan itu membuktikan keyakinan saintis terhadap perubatan antiretroviral yang membolehkan pesakit HIV menjalani kehidupan normal. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini