Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mac – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan permintaan disebabkan pelabur kekal tidak memasuki pasaran untuk memantau perkembangan pertumbuhan ekonomi global, kata peniaga.

Pada pukul 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.0800/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0800 pada Khamis.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, dagangan mata wang asing secara keseluruhan agak tenang hari ini berikutan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara menunggu perkembangan lanjut daripada rundingan perdagangan AS-China.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mengenai masa depan, perkembangan daripada rundingan perdagangan di Beijing hari ini dan Washington minggu depan mempunyai potensi untuk mewujudkan peningkatan yang ketara dalam mata wang dan tidak boleh dijangka tidak kira sama ada berita itu baik atau buruk,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pasaran kewangan domestik meningkat dalam keadaan sentimen pelabur yang positif berikutan ringgit naik sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS pada Februari disokong oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin dalam pasaran bon.

“Ini sejajar dengan trend serantau dan didorong oleh minat untuk mengambil risiko yang meningkat oleh pelabur global,” menurut BNM dalam Sorotan Bulanan-Februari 2019 hari ini.

Dalam pada itu, Standard Chartered Bank dalam nota penyelidikannya berkata, disebabkan unjuran pertumbuhan ekonomi yang perlahan, BNM dijangka mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas pada Mei tahun ini.

Sebelum ini, ia menjangka BNM akan mengekalkan kadar bagi 2019 berdasarkan pandangannya pertumbuhan ekonomi yang kukuh berbanding 2018 dan keselesaan bank pusat dengan pertumbuhan domestik.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0086/0128 daripada 3.0055/0100 semasa ditutup pada Khamis, bagaimanapun meningkat berbanding pound British kepada 5.3122/3203 daripada 5.3542/3607.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6820/6872 daripada 3.6937/6983 dan naik berbanding euro kepada 4.5737/5809 daripada 4.5871/5937. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini