PENCAK silat atau seni silat mempertahankan diri mungkin dianggap sebagai ‘lapuk’ dalam dunia yang serba canggih serta moden ini berbanding seni mempertahankan diri lain seperti taekwondo atau muay Thai.
Namun, tidak bagi gadis pilihan S2 berusia 24 tahun kali ini, Nor Mastura Mohamad Yusop yang masih mempertahankan seni silat, malah mahu mengetengahkan seni itu kepada golongan muda.
Jika dilihat pada perwatakan dan rupa paras yang ayu, tiada siapa dapat menyangka pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sebenarnya tangkas dan licik dalam menangkis serangan pihak lawan.
Katanya, biarpun dunia semakin berubah, seni warisan turun-temurun Melayu itu tetap tidak dipinggirkan kerana ia memberi banyak manfaat kepada dirinya.
“Tujuan pertama saya mempelajari ilmu seni mempertahankan diri ini ialah sudah semestinya untuk mempertahankan diri jika berhadapan dengan situasi yang berbahaya atau tidak diingini.
“Tambahan pula adik-beradik saya kebanyakannya perempuan dan hanya seorang lelaki menyebabkan saya rasa perlu antara kami mempunyai seni mempertahankan diri untuk melindungi keluarga,” katanya yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik.
Telah menyertai hampir 20 pertandingan silat olahraga seluruh negara, jelas anak kelahiran Kampung Gajah, Perak ini, pada awal pembabitannya hanya sekadar suka-suka untuk mencuba sesuatu yang baharu dan mencari pengalaman.
Namun, apabila semakin mendalaminya, dia sedar bahawa silat bukan semata-mata untuk ‘berlawan’ tetapi mengajar dirinya tentang disiplin dan membentuk jati diri yang lebih baik.
“Saya mula mempelajari silat ketika tingkatan satu semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Perak sebelum dipilih oleh guru untuk menyertai kumpulan silat sekolah.
“Sejak itu, saya mula melibatkan diri secara serius dalam sukan ini kerana mempelajari silat mengajar diri untuk lebih berdisiplin dengan menepati waktu latihan dan menghargai warisan sejarah bangsa,” ujarnya lagi.
Antara pertandingan yang pernah disertainya termasuk Sukan Malaysia (Sukma), Sukan Majlis Sukan Universiti (Masum) dan menjadi juara tiga kali berturut-turut Karnival Sukan Mahasiswa (Karisma).
Tambahnya, lebih menggembirakan apabila adik bongsunya, Amyra Mohamad Yusop, 20, mengikut jejak langkahnya dengan mempelajari ilmu seni silat mempertahankan diri serta berjaya menjadi johan di beberapa kejohanan silat olahraga yang diadakan sebelum ini.
Malah, mereka berdua tular baru-baru ini dalam media sosial gara-gara melakukan persembahan silat semasa majlis perkahwinan kakak mereka di kampung halaman.
Berkongsi perancangan masa hadapan, Mastura yang kini menjalani latihan industri sebagai guru pelatih Pendidikan Jasmani di Sekolah Menengah Kebangsaan, Seksyen 9 Shah Alam, Selangor mahu memperkasakan seni silat bermula dari peringkat sekolah untuk generasi muda.











