KUALA LUMPUR 29 Mac – Rizab Malaysia pada akhir Februari 2019 tetap boleh guna dengan aset rizab rasmi berjumlah AS$102.36 bilion (RM417.55 bilion) berdasarkan format Standard Penyebaran Data Khas Tabung Kewangan Antarabangsa (SDDS IMF).
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya berkata, aset mata wang asing lain berjumlah AS$653.8 juta (RM2.67 bilion).
Katanya, bagi tempoh 12 bulan akan datang aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada bil antara bank dalam mata wang asing BNM apabila matang adalah AS$4.03 bilion (RM16.44 bilion).
“Kedudukan hadapan pendek berjumlah AS$18.36 bilion (RM74.89 bilion) manakala kedudukan hadapan panjang berjumlah AS$600 juta (RM2.45 bilion) pada akhir Februari 2019 mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya di sini hari ini.
Menurut bank pusat itu, data tersebut tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2.70 bilion (RM11.01 bilion) untuk tempoh 12 bulan akan datang sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006.
Jelasnya, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka adalah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$351.1 juta (RM1.43 bilion).
“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.
“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.
HABIS…











