KUANTAN 29 Mac – Seekor ular sawa batik seberat 180 kilogram ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan di Andora Peak, Semambu di sini hari ini.
Pegawai APM Kuantan, Muhammad Ikram Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.38 pagi daripada orang awam berhubung kehadiran reptilia sepanjang lebih sembilan meter itu.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kami mengambil masa kira-kira empat jam sebelum berjaya menangkap ular itu menggunakan penjerut dan penyepit.
“Kami mengambil masa untuk menangkap ular itu kerana saiznya yang besar dan agresif kerana berasa terancam dengan kehadiran kami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhammad Ikram berkata, berdasarkan maklumat, kehadiran ular tersebut disedari oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
“Mereka ternampak reptilia itu cuba menyeberangi jalan dari kawasan semak berhampiran sebelum menghubungi APM,” katanya. – UTUSAN ONLINE











