Pembantu tadbir kerajaan negeri buat tuntutan palsu bernilai RM209,233 - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir kerajaan negeri buat tuntutan palsu bernilai RM209,233

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 29 Mac – Seorang pembantu tadbir di Jabatan Pertanian negeri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan berhubung kes tuntutan palsu ketika bertugas di dua jabatan kerajaan di negeri ini antara 2014 hingga 2017.

Tertuduh, Mazuin Zulkifli, 33, membuat pengakuan itu selepas memahami kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memalsukan 32 tuntutan pembiayaan perubatan kesuburan di Pusat Kesuburan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berjumlah RM209,233.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bermula 10 Oktober 2014 hingga 10 Oktober 2017 di Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Siasatan mendapati, pembantu tadbir itu telah mengemukakan Borang Perubatan I/09 beserta resit-resit berkaitan rawatan kesuburan kepada dua jabatan itu dengan niat mengelirukan prinsipalnya terhadap tuntutan palsu tersebut.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai kesalahan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Mohd. Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini