FALLUJAH, Iraq – Seorang bayi di sini terpaksa bernafas menggunakan mulut kerana dilahirkan tanpa hidung, demikian menurut laporan Daily Mail.
Identiti dan jantina bayi berkenaan serta nama ibu bapanya tidak didedahkan kepada umum bagi melindungi privasi mereka. Portal berita tempatan bagaimanapun mengesahkan bahawa bayi itu mempunyai tiga adik-beradik lain yang dilahirkan sempurna.
Punca sebenar bayi itu lahir tanpa hidung masih tidak diketahui. Bagaimanapun, keadaan tersebut sebelum ini disebut sebagai arhinia atau ketiadaan hidung ataupun sistem deria bau.
Kecacatan tersebut pula dipercayai berpunca daripada masalah genetik rosak, manakala setakat ini, kurang daripada 100 kes pernah dilaporkan.
Bayi itu juga menghidap sindrom mikrosefali yang menyebabkan otaknya tidak berkembang dengan normal, manakala saiz kepalanya lebih kecil berbanding bayi normal.
Gambarnya disiarkan oleh sebuah pertubuhan yang merekodkan kecacatan bayi di bandar ini dikenali sebagai Fallujah Birth Defects (FBD).
Pertubuhan itu mendakwa kecacatan bayi baru lahir meningkat dengan banyak selepas Fallujah dibom semasa pergolakan di Iraq, mengakibatkan sebahagian besar bangunan di bandar itu musnah dan kebanyakan daripada 300,000 penduduknya menjadi pelarian.
Buat masa ini, belum ada mana-mana pihak berwajib tampil mengesahkan kesahihan gambar berkenaan.
Fallujah terletak kira-kira 64 kilometer ke barat ibu kota Iraq, Baghdad. – Agensi











