PAC akan panggil KSN berhubung projek RC, VEP - Utusan Malaysia

PAC akan panggil KSN berhubung projek RC, VEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan memanggil Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar berhubung isu Projek Sistem Caj Kenderaan (RC) dan Permit Kenderaan Masuk (VEP).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, Ismail akan dipanggil membantu siasatan memandangkan pelaksanaan kontrak dibuat pada tempoh beliau memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

“Kita juga akan memanggil syarikat yang terlibat dalam kontrak tersebut. Hari ini, bekas menteri pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) hadir prosiding, kita berpuas hati dengan keterangan beliau,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua projek bernilai RM149.45 juta itu bertujuan mendaftar kenderaan memasuki Malaysia, memantau pergerakan trafik di pintu sempadan Malaysia-Singapura serta mengenal pasti kenderaan yang mempunyai saman tertunggak serta membantu mencegah penyeludupan kenderaan.

Jabatan Audit Negara sebelum ini antara lain mendapati terdapat kelemahan jelas terutamanya dalam aspek justifikasi pelantikan kontraktor dibuat secara rundingan terus, bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan berkaitan keupayaan teknikal dan kewangan yang perlu diberi perhatian Kementerian Pengangkutan.

Dalam pada itu, Kiandee berkata, PAC juga sedang menyiasat kes wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan akan membuka beberapa kes lain dalam masa terdekat termasuk  berkaitan Lembaga Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan projek ‘tukar tanah’ Kementerian Pertahanan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini