Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 27 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki setelah bersauh tanpa kebenaran di perairan negara pada kedudukan kira-kira 3.2 batu nautika di Tenggara Tanjung Penyusop, Pengerang pagi tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki tanpa muatan berbendera Indonesia itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang dalam Op Jaksa pada 11.50 pagi.

“Kapal tangki tersebut dikendalikan oleh 14 kru termasuk nakhoda warganegara Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 58 tahun. Penahanan dibuat setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan apa-apa dokumen kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua kru kapal tangki tersebut dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan selanjutnya’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zulfadli berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika disabit kesalahan.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan akan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan perairan negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini