KUALA LUMPUR 27 Mac – Pelakon Fattah Amin membuat laporan polis terhadap rakan kongsinya di bawah syarikat MRP International Sdn. Bhd kerana enggan memberi kerjasama dalam menyelidik penyata kewangan syarikat tersebut.
Menurut Fattah, dia perlu berbuat demikian bagi mendalami polemik yang melanda dirinya berhubung dakwaan daripada beberapa agen produk tersebut yang mengatakan Fattah tidak aktif mempromosikan produk syarikat berkenaan.
Fattah turut menegaskan dirinya tidak pernah bersekongkol mahu pun berniat untuk menipu stokis, selain berasa ralat kerana perkara ini telah memburukkan nama baiknya.
“Kes ini telah bermula sejak tahun lepas lagi selepas agen mula memperkatakan perkara ini dalam ruangan komen laman sosial milik saya.
“Saya rasa sangat bersalah dengan apa yang berlaku terhadap mereka. Malah nama saya juga turut calar berikutan kes ini, oleh itu saya tampil untuk menberikan penjelasan,” jelas Fattah ketika ditemui pada sidang akhbar berkaitan isu MRP di Universal Music Malaysia, di sini, hari ini.
Bagi menjernihkan keadaan, Fattah telah beberapa kali menghubungi rakan kongsi tersebut bagi mendapatkan akses untuk meneliti penyata kewangan syarikat namun usahanya gagal.
Untuk menjaga nama baiknya, Fattah telah melantik peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan dari Azaine & Fakhrul Advocates & Solicitors untuk membantu menyiasat dan menangani perkara ini.
“Pada 13 Februari lalu, Fakhrul telah menghantar notis kepada rakan kongsi berkenaan supaya membenarkan pihak saya meneliti penyata kewangan dan menjalankan audit yang lebih terperinci terhadap syarikat itu namun kami tidak menerima sebarang tindak balas.
“ Oleh itu, peguam menyarankan saya membuat laporan polis berkenaan isu ini dan saya telah berbuat demikian ada 8 Mac lepas.
“Laporan itu untuk dibuat untuk memberi penjelasan kepada pihak stokis MRP dan orang ramai bahawa saya tidak menipu atau pun bersekongkol dengan pihak syarikat MRP,” luah Fattah yang berharap pihak stokis tidak lagi menuding jari dan menyalahkan dirinya tanpa usul periksa.
Syarikat MRP International Sdn. Bhd mengeluarkan produk makanan kesihatan , MRP Sup DIET & Berrytox. – UTUSAN ONLINE











