KUALA LUMPUR 27 Mac – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan berbincang dengan semua pengamal media untuk mengambil pandangan sama ada perlunya penggubalan undang-undang khusus bagi melindungi wartawan.
Menterinya, Gobind Singh Deo menegaskan pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan kekerasan terhadap wartawan kerana golongan berkenaan hanya melaksanakan tugas masing-masing.
Jelas beliau, sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu laporan media, semua pihak mempunyai peluang untuk menghubungi dan meminta pihak media memperbetulkannya.
“Perkara ini telah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat tadi sama ada perlu atau tidak kita mempunyai undang-undang khusus menjaga kepentingan wartawan.
“Pada saya, undang-undang yang wujud sedia ada boleh lindungi dan menjamin hak wartawan semasa bertugas. (Namun begitu), sama ada perlu atau tidak, saya akan berbincang dengan pihak media apabila saya berjumpa dengan anda semua nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE











