SEREMBAN 27 Mac – PKR Negeri Sembilan menyokong tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun meletakkan jawatan Presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) ekoran isu penjualan arak di kelab tersebut.

Ketua Penerangan PKR negeri, Yusof Tapar berkata, kesediaan Aminuddin berbuat demikian membuktikan prinsip dan ketegasannya untuk mengotakan janji.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam negeri, tindakan beliau melepaskan jawatan presiden kelab yang dipegang sejak 2018 dilihat bertepatan dalam usaha menegakkan syariat dan ia wajar dipuji.
“Malah ia menjadi satu contoh yang baik selain menggambarkan jawatan bukanlah segala-galanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri pada Isnin lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden SIGC selepas mesyuarat agung luar biasa kelab itu Ahad lalu memutuskan untuk menjual semula minuman keras di kelab berkenaan.
Pada 20 Ogos 2018, jawatankuasa pengurusan kelab milik kerajaan negeri itu melarang penjualan minuman berkenaan selepas diminta berbuat demikian oleh Aminuddin.
Menurut Yusof, perlembagaan kelab membenarkan penjualan arak telah diluluskan oleh pentadbiran sebelum ini pada September 2009 yang turut melantik secara automatik menteri besar sebagai presiden.
“Kebenaran yang tertulis di dalam perlembagaan kelab akhirnya menyebabkan Aminuddin gagal menghalang penjualan arak di SIGC,” katanya. – UTUSAN ONLINE











