KUALA LANGAT – Seorang operator kilang maut ketika pulang ke rumah selepas motosikal ditunggangi merempuh konkrit penghadang jalan di Jalan Batu 9, Kebun Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 petang itu, Wan Firdaus Ramzul Khairi, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y150 dalam perjalanan pulang ke rumah di Banting Baru dari tempat kerjanya di Seksyen 23, Shah Alam.
“Setibanya di lokasi kejadian mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan melanggar konkrit penghadang jalan.
“Pelanggaran itu mengakibatkan badan mangsa tersangkut pada celahan konkrit itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di dada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.
Azizan berkata, orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











