LISBON – Ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo menafikan bahawa masalah kecederaan yang dialaminya serius selepas dia dibawa keluar pada separuh masa pertama aksi kelayakan Euro 2020 ketika menentang Serbia di Stadium Luz awal pagi semalam apabila berdepan masalah otot.
Pada aksi tersebut, Ronaldo cuba untuk mendapatkan bola sebelum tiba-tiba terhincut-hincut dan memegang kaki kanannya menahan kesakitan.
Dia kemudian memberikan isyarat pertukaran kepada pegawai pasukan sebelum digantikan dengan Pizzi sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat Juventus yang sedang bersiap untuk menentang Ajax Amsterdam pada aksi pusingan suku akhir Liga Juara-Juara dua minggu dari sekarang.
Bagaimanapun, bekas bintang Real Madrid itu mengakui bahawa dia akan segera sembuh dan mampu beraksi pada perlawanan itu nanti.
“Saya tidak bimbang kerana saya tahu keadaan tubuh badan saya. Saya mungkin akan kembali menjalani latihan dalam tempoh seminggu dua lagi,” katanya.
Portugal ketinggalan 0-1 ketika Ronaldo mengalami kecederaan tersebut.
Sebelum itu, Ronaldo juga terpaksa menerima rawatan daripada pasukan perubatan kerana mengalami pendarahan hidung pada aksi tersebut. – Agensi











