Suatu masa dahulu, sumber rujukan bagi sekalian manusia tidak lain tidak bukan medium seperti jurnal, buku-buku ilmiah dan surat khabar.
Tidak kurang juga terdapat sebilangan individu yang berkunjung ke perpustakaan mahupun kedai-kedai buku untuk mendapatkan bahan bacaan yang pelbagai.
Bagaimanapun, trend itu kini beransur berubah setelah kemunculan laman web.
Laman web kini dilihat memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian masyarakat.
Sebut sahaja apa jua perkara yang ingin diketahui, segalanya boleh didapati menerusi laman web sepantas kilat.
Dengan bantuan capaian internet dan gajet berteknologi tinggi, semuanya boleh didapatkan di hujung jari.
Begitupun, 30 tahun lalu, berkongsi dan mendapatkan maklumat, menghubungkan serta berkomunikasi jarak jauh di alam maya merupakan sesuatu yang mustahil.
Sehinggalah, laman web atau World Wide Web (WWW) kini menginjak usia 30 tahun pada pertengahan Mac lalu sejak mula dibangunkan pada 1989.
Individu penting di sebalik pembangunan laman web itu ialah saintis England di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN), Switzerland, Tim Berners-Lee.
“Ketika itu, saya akui begitu tertekan kerana tidak dapat berkongsi eksperimen serta kajian-kajian yang telah dilakukan kepada orang awam.
“Selain itu, data-data kajian disimpan di dalam komputer yang berbeza menyebabkan sukar untuk mendapatkan kembali maklumat yang diinginkan,” ujarnya.
Justeru itu, Berners-Lee mencadangkan sistem informasi dalam satu bahagian yang kemudiannya boleh dihubungkan ke seluruh dunia.
“Ia bukan sahaja mudah untuk mencari maklumat, malah boleh diakses oleh semua tanpa kawalan oleh mana-mana badan.
“Daripada situlah, lahirnya jaringan ketersambungan universal iaitu laman web,” jelasnya lagi.
Laman web merupakan ruang informasi yang mana dokumen atau sumber web dikenal pasti oleh pelokasi sumber seragam (URL).
Ia dihubungkan oleh hiperteks dan boleh diakses menerusi internet.
Dilancarkan
Pengguna boleh mengakses laman web menerusi aplikasi perisian atau lebih dikenali sebagai pelayar web.
Pelayar web pertama Berners-Lee dibangunkan pada 1990 ketika bekerja dengan CERN dan ia dilancarkan untuk kegunaan luar pada 1991.
Pada mulanya, ia digunakan oleh institusi penyelidikan pada Januari 2011, namun tujuh bulan kemudian, barulah ia dibuka kepada pihak awam .
Biarpun usia tiga dekad laman web jelas menunjukkan kematangan serta bertindak selaku penanda aras bagi sebuah pencapaian yang hebat, Berners-Lee memiliki impian lain.
Tidak lain tidak bukan iaitu membinanya semula.
Keterbukaan laman web dengan kandungan-kandungan percuma serta boleh diakses oleh semua orang menyebabkan keadaan dunia ini semakin berubah.
Lebih membimbangkan, sejak kebelakangan ini, laman web telah digunakan secara meluas untuk tujuan jenayah dan eksploitasi radikal oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jelas Berners-Lee, ancaman pengawasan kapitalis, manipulasi pilihan raya serta jenayah siber merupakan antara kemunculan yang membimbangkan.
“Laman web pada masa depan seharusnya lebih berpaksikan pengguna dan memberi golongan itu lebih kawalan terhadap data peribadi mereka,” tegasnya.
Tidak dipatenkan
Sementara itu, penulis sains, James Gleick berkata, laman web tidak pun dipatenkan oleh Berners-Lee ketika dibangunkan 30 tahun dahulu.
“Disebabkan itu, ruang siber dapat berkembang pada kadar sangat pantas.
“Dianggarkan, kira-kira 4.2 bilion pengguna internet di seluruh dunia yang melayari hampir dua bilion laman web.
Profesor Globalisasi dan Pembangunan, University of Oxford, Ion Goldin pula menyifatkan, ledakan laman web pada era baharu ini memberi kesan terhadap bidang komunikasi.
“Kemunculan laman web mengundang ledakan informasi, penyebaran maklumat dengan lebih mudah dan memberi impak kepada ramai pihak, berbanding ketika pada zaman Renaissance.
“Selain mengubah cara idea itu dibentuk dan dikongsi, laman web sebenarnya memberi keuntungan besar dalam aspek kemanusiaan,” jelasnya.
Tambah Goldin, tiada teknologi lain sepanjang 30 tahun lalu yang berubah pada kadar sangat pantas selain laman web.
Katanya lagi, penyebaran idea besar-besaran dapat mengubah daripada sebuah negara mundur kepada pusat inovasi termaju dunia.
“Ini berlaku pada skala yang sangat besar dan manusia daripada pelbagai latar belakang di planet ini dapat belajar antara satu dengan lain.
“Bayangkan, penari hip hop di Harlem kini dapat belajar gerakan penari hip hop lain seperti di Shanghai,” ujarnya lagi.
Meskipun begitu, Goldin tidak menafikan revolusi dalam komunikasi turut membolehkan penyebaran anasir jahat dengan pantas.
Jelasnya, era percetakan Guternberg telah menghasilkan ramai ilmuwan, namun pada masa sama ia turut mendorong kepada lebih 200 tahun peperangan dunia.











