DAMSYIK 26 Mac – Ketika Tentera Demokratik Syria (SDF) mengumumkan kejayaan menghapuskan sepenuhnya militan Daesh di negara ini selepas bertahun berdepan perang saudara, semuanya itu bagaikan tidak membawa sebarang makna.
Hal demikian kerana pentadbiran Presiden Donald Trump didakwa cuba membawa konflik baharu di rantau ini apabila secara rasmi mengisytihar Bukit Golan yang terletak di dalam wilayah Syria adalah milik rejim Zionis serta berada di bawah kedaulatan Israel.
Perkara itu meletakkan Syria bakal menerima nasib sama dirasai penduduk Palestin apabila satu persatu wilayahnya dijajah Zionis.
Pengumuman itu dibuat ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengunjungi White House sebelum pulang segera ke Tel Aviv susulan serangan roket yang dilancarkan oleh Hamas.
“Tindakan agresif oleh Iran dan kumpulan militan di selatan Syria termasuk Hezbollah terus menjadikan Bukit Golan sebagai tempat menyerang Israel. Sepatutnya, hal ini (pengiktirafan Israel di Bukit Golan) sudah lama dilakukan oleh beberapa Presiden terdahulu,” jelas Trump.
Sementara itu, Syria mengecam tindakan Trump dan menyifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu sengaja ‘menyerang’ kedaulatan serta integriti negara ini.
Menteri Luarnya, Walid al-Moualem berkata, Damsyik mempunyai hak untuk menuntut Bukit Golan.
Selain itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga menyelar keputusan Trump yang menegaskan tiada kuasa yang boleh melebihi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mahupun Inisiatif Rundingan Damai Arab.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pula menegaskan Bukit Golan akan kekal sebagai wilayah Syria.
Qatar, Turki, Liga Arab, United Kingdom, Jerman, Perancis, Mesir, Rusia, Venezuela dan Kesatuan Eropah (EU) turut tidak bersetuju dengan keputusan Trump, selain Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyatakan status Bukit Golan tidak akan berubah.
AS IKRAR SOKONG ISRAEL
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai kerajaan AS termasuk Naib Presiden, Mike Pence dan Setiausaha Negara, Mike Pompeo berikrar menyokong Israel pada hari kedua persidangan tahunan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) di Washington.
Pence turut menyenaraikan polisi yang diumumkan oleh Trump untuk menyokong Israel dan tindakan itu mendapat tepukan gemuruh daripada 18,000 tetamu yang hadir.
“Di bawah Trump, AS berdiri sama dengan Israel,” katanya.
GENCATAN SENJATA GAZA
Terdahulu kumpulan Hamas mengumumkan mereka mencapai persetujuan dengan Israel untuk melakukan gencatan senjata selepas saling berbalas tembakan, namun beberapa bunyi letupan masih kedengaran di kedua-dua wilayah sejak awal pagi ini.
Al-Jazeera melaporkan, perkara itu diumumkan oleh jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum, namun Israel tidak memberi sebarang kenyataan berhubung keputusan tersebut.
Beberapa serangan roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel pada petang semalam sebagai tindak balas terhadap serangan udara tentera Israel yang menggempur kubu Hamas di sekitar Palestin.
Hamas dan kumpulan Jihad Islam memaklumkan mereka melancarkan roket di sekitar kawasan sempadan dan memberi amaran serangan akan diperhebatkan jika tentera Israel meneruskan serangan udara.
Siren turut dibunyikan di beberapa tempat di selatan Israel yang berhampiran dengan kawasan sempadan.
Semalam, jet pejuang tentera Israel melancarkan serangan udara terhadap kubu Hamas di sekitar Semenanjung Gaza sebagai membalas serangan roket dari Palestin yang memusnahkan sebuah rumah penduduk Yahudi menyebabkan tujuh cedera.
Menurut koresponden al-Jazeera di kawasan sempadan Israel-Gaza, beberapa bangunan kosong yang dikaitkan dengan Hamas turut dibedil.
Zionis pula memaklumkan mereka berjaya memusnahkan kubu kuat Hamas, selain Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan tujuh penduduk Palestin cedera dalam serangan terbabit.











