PUTRAJAYA 26 Mac – Restoran terkemuka, D’Tandoor baru-baru ini menganjurkan kempen The Last Straw iaitu inisiatif tidak menggunakan penyedut minuman atau straw plastik di seluruh rangkaian cawangannya di dalam dan luar negara.
Pengurus Besar D’Tandoor, Amir Malik berkata, kempen itu sejajar dengan seruan kerajaan terhadap larangan penggunaan straw plastik di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada tahun ini.
Kata beliau, bermula Januari lalu, semua cawangan restoran D’Tandoor tidak lagi menggunakan straw plastik dan menggantikannya dengan penyedut minuman biodegradasi.
“Walaupun larangan kerajaan itu hanya melibatkan tiga Wilayah Persekutuan namun kami turut memperkenalkan pengunaan straw ‘mesra alam sekitar’ itu di cawangan luar negara antaranya Arab Saudi, Kemboja dan Australia.
“Apabila kita memperkenalkan langkah sebegini di luar negara, ramai puji Malaysia kerana menggorak langkah untuk tidak menggunakan straw plastik,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kempen itu di sini, baru-baru ini.
Menurut Amir, beliau berharap inisiatif itu dapat dijadikan ikutan oleh pemilik perniagaan makanan lain di negara ini.
“Sudah tiba pada masanya penduduk dunia melangkah ke hadapan untuk tidak lagi menggunakan straw plastik yang boleh memberi kesan pencemaran buruk kepada alam sekitar.
“Hampir setiap hari manusia membuang straw plastik dan menambah pencemaran bahan yang tidak boleh dikitar semula.
“Perkara ini harus dihentikan demi alam sekitar yang lebih lestari,” katanya.











