KOTA BHARU 25 Mac – Seramai 26 jaguh Muay Thai dari dalam dan luar negara bakal berentap dalam Kejohanan Gegar Boxing Peringkat Pantai Timur 2019 di Tapak Ekspo Pantai Irama, Bachok pada malam 29 dan 30 Mac ini.
Kejohanan julung kali dianjurkan melalui Ikatan Big Brother Pantai Timur dengan kerjasama Persatuan Sukan Boxing Negeri Kelantan (PSBNK) akan dirasmikan oleh bekas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengarah Kejohanan, Datuk Fauzwi Ismail berkata, pihaknya turut mengaturkan pertarungan istimewa antara peninju antarabangsa dari Uzbekistan dan Thailand.
Katanya, dijangka lebih 20,000 peminat sukan muay thai tempatan tidak akan melepaskan peluang hadir bagi menyaksikan kehebatan jaguh-jaguh sukan seni mempertahankan diri pada kejohanan yang cukup berprestij itu.
“Tujuan pihak kita menjemput bekas Perdana Menteri kerana populariti beliau yang popular dengan tagline ‘Malu Apa Bossku’ mampu menarik minat golongan belia untuk sama-sama memeriahkan program ini.
“Ini peluang rakyat Kelantan bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada majlis penyerahan hadiah kepada penganjur bagi Kejohanan Gegar Boxing Peringkat Pantai Timur di dewan Kelantan Trade Centre, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PSBNK, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani.
Menurut Fauzwi, kejohanan itu merupakan salah satu kejohanan terbesar pernah dianjurkan di negeri ini dan pihak penganjur juga akan memberi hadiah kepada Najib iaitu berupa sarung tangan khas muaythai berwarna biru dan merah yang tertera tulisan ‘Malu Apa Bossku’.
Katanya, pihaknya juga akan mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri termasuk perlu menutup aurat.
“Perlawanan bermula pukul 8.30 malam dan tiket dijual pada berharga RM50 (VIP), RM15 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) dan boleh dibeli melalui ahli jawatankuasa kejohanan di talian 0137006006 dan 0179785155.
“Bagi penonton yang membeli tiket RM50, mereka berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa dua motosikal Yamaha Y15 dan Yamaha NVX serta rantai emas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











