KUALA LUMPUR 26 Mac – Lebih 200 anak pokok, buah-buahan, bunga, makanan dan produk segar menjadi tarikan pengunjung FAMA Fest Wilayah Selatan 2019 yang akan berlangsung di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula Khamis ini hingga 1 April.
Festival anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dibuka secara percuma kepada orang ramai selama lima hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Antara tarikan lain yang disediakan adalah pameran orkid atau florikultur, jualan segar dan ladang kontrak, karavan tani, butik Agromas dan produk industri asas tani dan pameran haiwan peliharaan.
Selain itu aktiviti menarik turut disediakan untuk seisi keluarga seperti pertandingan mewarna kanak-kanak bawah 12 tahun, pencarian juadah Asam Pedas terbaik, karaoke, sukaneka, zumba, qasidah dan persembahan artis tempatan. – UTUSAN ONLINE











