JOHOR BAHRU 26 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa yang melihat kepada pengurusan kilang terutama membabitkan industri kimia di Pasir Gudang bagi memastikan kes pencemaran seperti pembuangan toksik haram di Sungai Kim Kim tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Saintifik, Prof. Dr. Abdul Rahim Mohd. Yusoff berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah cadangan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam usaha meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan berhubung isu pencemaran.
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu amat penting kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini hanya memperoleh data daripada pihak kilang tentang pengurusan sisa kimia sahaja.
“Namun, kali ini, kita harus kuatkuasakan secara menyeluruh lagi dengan melihat sama ada proses itu dilakukan di kilang, memeriksa bahan yang digunakan dan bagaimana cara mereka menguruskan sisa terhasil.
“Walaupun mereka ada menghantar laporan, namun kita perlu periksa sama ada proses itu dilakukan dibuat seperti yang ditetapkan,” katanya selepas taklimat Bencana Pasir Gudang: Kronologi dan Peranan Kita di Fakulti Sains UTM di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, perlu ada penguatkuasaan yang ketat untuk memastikan penggiat industri berkaitan kimia di Pasir Gudang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jawatankuasa baharu itu nanti.
“Perkara itu amat penting kerana mengambil kira kawasan perkilangan di Pasir Gudang tidak mempunyai zon penampan selain amat rapat dengan kawasan perumahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











