KUALA LUMPUR 26 Mac – National Press Club (NPC) akan mengadakan majlis makan malam amal pada 13 April depan bertujuan mengumpul dana terutamanya bagi Tabung Kebajikan Wartawan (JWF).
Majlis makan malam amal yang akan diadakan di Hotel Istana Kuala Lumpur pada pukul 7.30 malam, turut menampilkan persembahan daripada para pemuzik tempatan.
Presiden NPC, Datuk Mokhtar Hussain berkata, sumbangan daripada JWF akan diberikan kepada waris pengamal media yang terbunuh atau meninggal dunia ketika bertugas atau kematian melibatkan penyakit kronik seperti kanser dan juga kepada wartawan yang menghidap penyakit sehingga tidak boleh bekerja.
“Sehingga kini, JWF sudah membantu sebanyak 74 pengamal media dan juga keluarga mereka daripada pelbagai organisasi media di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE











