Operasi Tapak Pelupusan Ladang CEP 1 dihentikan berkuat kuasa hari ini - Utusan Malaysia

Operasi Tapak Pelupusan Ladang CEP 1 dihentikan berkuat kuasa hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Operasi pelupusan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Ladang CEP 1, Simpang Renggam, Johor dihentikan sepenuhnya berkuat kuasa hari ini berikutan laporan limpahan air larut resap ke sungai berhampiran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihak operator telah diarahkan untuk menempatkan tiga Mobile Leachate Treatment Plant (MLTP) di tapak itu bagi meningkatkan kapasiti rawatan air larut resap bermula esok.

“Air larut resap yang bertakung di dalam sel di tapak pelupusan sedia ada akan dipindahkan menggunakan lori tangki ke Tapak Pelupusan Seelong mulai esok untuk dirawat dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Zuraida berkata, sisa pepejal daripada tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam dan Majlis Perbandaran Batu Pahat juga akan dihantar ke Tapak Pelupusan Seelong.

“Tapak ini menerima anggaran sebanyak 500 tan sisa pepejal setiap hari daripada tiga PBT terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida memberitahu, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi esok bagi mengenal pasti kesan air larut resap kepada sungai berdekatan.

Katanya, mesyuarat itu melibatkan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Jabatan Alam Sekitar, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Badan Kawal Selia Air Johor, Syarikat Air Johor, agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. 

“Dengan tindakan segera ini, kerajaan berharap isu limpahan air larut resap dari tapak pelupusan Ladang CEP 1 dapat diatasi dengan kadar segera,” katanya.

Zuraida berkata, kerajaan persekutuan mula mengambil alih operasi tapak pelupusan itu pada April 2017 sebelum menaik taraf kepada jenis pelupusan sanitari termasuk kerja menaik taraf dengan penambahan sel baharu yang siap pada Februari tahun lalu.

Katanya, pada tahun 2010, kerajaan persekutuan melaksanakan kerja penutupan selamat di sebahagian tapak termasuk membina Loji Rawatan Air Larut Resap (Leachate Treatment Plant) yang berkapasiti 150 meter padu sehari dan kerja itu telah disiapkan pada tahun 2012. 

Terdahulu, tapak pelupusan itu mula beroperasi pada 2003 dengan keluasan enam hektar dan dikendalikan oleh Majlis Daerah Simpang Renggam secara pelupusan terbuka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini