Rakyat perlu dapat maklumat lengkap tindakan SPRM - Utusan Malaysia

Rakyat perlu dapat maklumat lengkap tindakan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat tentang tindakan penguatkuasaan dilakukan agensi itu.

Sultan Sharafuddin bertitah, ini berikutan baginda sering mendengar rungutan orang ramai bahawa terdapat aduan-aduan rasuah yang dibuat tidak diketahui kesudahannya. 

Titah baginda, akhbar-akhbar banyak melaporkan tentang tangkapan dan tahanan reman yang dibuat terhadap mereka yang disyaki melakukan amalan rasuah, namun kesudahannya samada mereka ini dituduh di mahkamah atau sebaliknya tidak diketahui. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat adalah samada mereka yang dilapor melakukan rasuah ini adakah benar-benar telah disiasat dan diadili mengikut undang-undang. 

“Maklumat yang lengkap tentang hasil siasatan ini penting bagi mengelak dari persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak-pihak tertentu di dalam melaksanakan tugas mereka,”titah baginda semasa merasmikan kompleks pejabat baharu SPRM Selangor di sini hari ini. 

Turut berkenan berangkat ke majlis itu adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull. 

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan supaya SPRM agar kekal menjadi satu badan yang bebas dari sebarang pengaruh oleh mana-mana pihak termasuk orang-orang politik. 

Baginda bertitah, SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain “without fear or favour”. 

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah menjadi penjawat awam dan orang politik bukan jalan untuk mengumpul harta kekayaan serta bermewah-mewah. 

“Statistik yang dikeluarkan oleh pihak SPRM baru-baru ini amat
membimbangkan yang merekodkan beribu kertas siasatan yang dibuka melibatkan amalan rasuah oleh penjawat awam dan orang-orang politik. 

“Ini memberi gambaran yang buruk terhadap penjawat awam dan orang-orang politik yang merupakan pemimpin kepada rakyat dan negara,” titahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini