KUANTAN – Empat empangan di Pahang yang membekalkan sumber air masih berada dalam paras yang baik, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.
Beliau menambah empangan itu ialah Empangan Chereh di sini, Empangan Klau yang terletak di Raub dan dua empangan di Rompin iaitu Empangan Anak Endau dan Empangan Pontian.
Merujuk kepada situasi di Kuantan, Norol Azali berkata setakat ini, muka sauk Kobat dan dua loji rawatan air iaitu Bukit Kenau dan Panching masih lagi menggunakan aliran semula jadi Sungai Kuantan sebagai sumber bekalan air.
“Kita masih tidak melepaskan air dari Empangan Chereh kerana sumber air sungai boleh digunakan namun pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan oleh jabatan terlibat mengenai kedudukan paras sungai.
“Jika terdapat keperluan, perbincangan akan diadakan dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi melepaskan air empangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Empangan Chereh di sini, semalam. – Bernama











