ALOR SETAR 25 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini membalas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menzahirkan rasa kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Secara ringkas, Perdana Menteri ketika menjawab soalan mengenainya berkata, biarlah orang hendak kecewa kerana beliau juga merasai situasi yang sama.
“Takpalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan diorang (mereka),” demikian reaksi ringkas Dr. Mahathir ketika ditemui selepas menyampaikan amanat khas Perdana Menteri kepada penjawat awam Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya terhadap kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi seperti sepatutnya.
“Perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah.
“Saya betul-betul mahu (usaha) mengangkat agenda reformasi menjadi fokus utama kami,” kata anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam wawancara tersebut.
Dalam wawancara itu, Nurul Izzah turut mengumumkan hasratnya untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya selepas penggalnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tamat setelah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Mahathir yang mahu mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan ahli PAC dari kalangan Ahli Parlimen pembangkang meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta, Dr. Mahathir secara ringkas berkata, terpulang kepada mereka untuk bertindak demikian.
“Takpalah mereka nak letak jawatan, letaklah, itu mereka punya hal,” kata Pengerusi PH itu.











