KUALA LUMPUR 25 Mac – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan 80,000 pendeposit baharu bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2020 dipacu pelbagai pelancaran produk dan kempen baharu.
Naib Presiden dan Ketua Jabatan Pemasaran dan Deposit Bank Muamalat, Wan Hosni Wan Kamal berkata, antara produk yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan itu adalah Ez-Zakat Muamalat iaitu kemudahan pengiraan dan potongan zakat secara automatik bagi akaun simpanan dan semasa.
“Kami adalah bank pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan seperti ini kepada para pendeposit. Kemudahan ini merupakan tambahan kepada perkhidmatan pembayaran oleh bank selain kaedah potongan gaji, bayaran di kaunter dan perbankan internet.
“Dengan segala kemudahan dan inovasi terkini yang kami tawarkan ia mampu menarik lebih ramai pendeposit baharu untuk membuka akaun bersama Bank Muamalat,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Ez-Zakat di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Naib Presiden Kanan Bank Muamalat, Dr. Shamsiah Abdul Karim dan Pengurus Besar Kanan Operasi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayan Persekutuan (PPZ MAIWP), Mohamed Hassan.
Sementara itu, Shamsiah berkata, Ez-Zakat Muamalat dijangka menyumbang kepada peningkatan 10 peratus nilai kutipan zakat berbanding tahun lalu yang dibayar melalui bank itu.
Katanya, inovasi yang ditawarkan mampu menarik perhatian pelanggan dengan pengiraan automatik apabila cukup haul dan nisab sekali gus menjadikan mereka lebih peka untuk menunaikan kewajipan.
“Ez-Zakat Muamalat ditawarkan di semua 64 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara. Buat masa ini kadar pengiraan zakat adalah mengikut amalan PPZ MAIWP dan akan diperluaskan mengikut kadar zakat negeri-negeri lain tidak lama lagi.
“Para pendeposit akan dimaklumkan apabila telah cukup haul dan nisab dan bank perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh membuat pemotongan zakat. Pendeposit juga mendapat pelepasan cukai pendapatan,” ujarnya.
Bank Muamalat kini memiliki satu juta pendeposit dengan 95 peratus daripadanya beragama Islam.











