KUALA LUMPUR 25 Mac – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melancarkan Ez-Zakat Muamalat iaitu kemudahan pengiraan dan potongan zakat secara automatik bagi akaun simpanan dan semasa.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, Ez-Zakat Muamalat merupakan kemudahan terbaharu yang ditawarkan kepada pelanggan yang beragama Islam.
Menurutnya, perkhidmatan itu ditawarkan di kesemua 64 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara.
“Kaedah kiraan dan potongan zakat yang akan digunakan adalah mengikut amalan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Potongan akan dilakukan secara automatik apabila cukup haul dan nisab.
“Potongan zakat yang dibuat melalui Ez-Zakat Muamalat melayakkan pendeposit mendapat pelepasan cukai pendapatan di bawah Seksyen 6A (3) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya dalam majlis pelancaran Ez-Zakat Muamalat di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











